Sejarah Naman Choi Chiwit
Minyak angin Naman Choi Chiwit diperbuat daripada campuran 50 jenis herba dan rempah tradisional yang diimport dari dalam dan luar negara. Diproses dengan teliti secara berperingkat menggunakan kaedah tertentu. Produk ini diklasifikasikan sebagai produk tradisional moden, dan telah menempa namanya di pasaran antarabangsa seperti Brunei, Indonesia dan Singapura sejak mula diasaskan.Minyak Naman Choi Chiwit ini diasaskan oleh Haji Ashari Bin Sharif Bin Taha Bin Deramat. Beliau dilahirkan pada tahun 1927 di Thailand, dan kemudian merantau bersama bapanya ke Malaysia lalu memilih untuk menetap di Sauk, Perak. Naman Choi Chiwit merupakan idea asal bapanya, Tok Sharif, namun tidak dikomersialkan. Beliau mengambil inisiatif untuk mengolah semula idea dan resipi tersebut lalu memulakan perniagaannya sekitar tahun 1960. Naman Choi Chiwit mula dipromosikan dan diperkenalkan di Sauk, dari rumah ke rumah melalui bidan dan tukang urut, serta melalui majlis keramaian seperti kenduri perkahwinan dan kematian. Dengan izin-Nya perniagaan ini terus berkembang ke negeri Kedah dan Johor (Batu Pahat) dan terus dikenali sehingga berjaya mengukir nama di negara Brunei Darussalam. Beliau merupakan seorang yang sangat berpegang teguh pada prinsip hidupnya iaitu; rendah hati, amanah, istiqamah dan iqtisad (diambil dari perkataan Bahasa Arab yang bermaksud Ekonomi). Beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 1979.
Haji Jaal Bin Haji Mat Isa - Berkhidmat Sejak 1975
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Namun perniagaan Naman Choi Chiwit tidak mampu berkembang luas tanpa bantuan pekerja yang amanah dan berdedikasi. Antaranya ialah Haji Jaal Bin Haji Mat Isa. Beliau dilahirkan pada 14 April 1948 di Banggol Belimbing, Lenggong, Perak. Beliau merupakan orang kanan Haji Ashari dalam menguruskan dan menjalankan perniagaan Naman Choi Chiwit dari melakukan kerja-kerja pejabat sehingga memproses bahan untuk menghasilkan minyak. Beliau mula berkhidmat pada tahun 1975 ketika berumur 27 tahun. Antara kenangan yang segar di ingatan beliau ialah pada mulanya beliau dijanjikan gaji sebanyak RM 100.00, namun beliau memperoleh sebanyak RM 200.00 walaupun baru mula bekerja kerana sifatnya yang sangat amanah, menepati masa dan rajin bekerja.